Sebanyak 206 ekor haiwan korban iaitu 192 ekor sapi dan 14 ekor kambing telah dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan Kerabat Baginda bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.
Sebahagian daripada daging korban tersebut telah diagihkan kepada 15,054 penerima terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin serta tanggungan mereka di seluruh negara.
Majlis penuh keberkatan ini berlangsung pada pagi Hari Raya Aidiladha bertempat di perkarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, sejurus selepas Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha.
Berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Berangkat sama ialah paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ke perkarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dijunjung oleh Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta Kerabat Baginda sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.
Di majlis tersebut, dua ekor kambing disempurnakan penyembelihannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota serta paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia.
Manakala penyembelihan haiwan-haiwan korban Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat baginda yang selebihnya disempurnakan di dua buah Syarikat yang dilantik iaitu Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak dan Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd.
Antara fadilat Ibadah Korban menurut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah menambah amal kebajikan, sesuai dengan sabda Baginda "Dari Aisyah Radiallahuanha, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak ada amalan anak Adam di hari Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai Allah Subhanahu Wata'ala daripada mengalirkan darah (korban). Sesungguhnya korban itu akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, dan kuku-kukunya. Dan darahnya akan sampai di sisi Allah Subhanahu Wata'ala sebelum menetes ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kalian dengan berkorban". Hadith Riwayat Muslim.
"Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim).
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto